Sabtu

BUYA HAMKA BERCERITA PERJUANGAN DAKWAH KEMBALI KEPADA AL-QUR'AN DAN AS-SUNNAH

AYAHKU

Sebelum beliau datang, telah keluar fatwa 'Syaikhul Islam' itu menyatakan bahawa akan datang kemari seorang ulama yang sesat lagi menyesatkan, Wahabi, Kaum Muda, tidak percaya kepada ulama-ulama dan keluar dari Madzhab Syafi'i.

Hati beliau panas bercampur gembira hendak menentang pengaruh 'Syaikhul Islam' itu.

Beliau kenal kepadanya semasa di Mekah. Kepandaiannya tidak ada sekuku! Kata beliau.

Beliau tikam jejaknya.

Dimana terdengar dia berfatwa, beliau pun datang pula ke situ.

Dan sedikit demi sedikit, mulalah timbul disana orang yang sefahaman dengan dia.

Masalah yang dijawab itulah yang menggoncangkan alam fikiran kaum ulama pada masa itu.

1. Melafazkan niat ketika memulai sembahyang, yang lebih terkenal dengan "Ushalli" sekali-kali tidaklah berasal daripada ajaran Nabi Muhammad Saw. Itu hanyalah kira-kiraan daripada ulama-ulama yang datang di belakang sahaja. Sebab itu "Ushalli" termasuk bid'ah.

2. Kenduri di rumah kematian, adalah termasuk meratap, dan meratapi orang yang telah mati, haram hukumnya. Maka adat-adat meniga hari, mengempat hari, menujuh hari, mengempat puluh hari dan menyeratus hari, hendaklah dibasmi.

3. Berdiri ketika membaca Berzanji, kepada sampai kepada "Marhaban" tidaklah berasal daripada ajaran Islam. Itu hanya pendapat beberapa ulama yang memandang "Istihsan" (rasa lebih baik) sahaja. Dan "Nabi datang" ketika tarikh Maulidnya itu dibaca, hanyalah kira-kiraan yang tidak ada asal-usulnya.

4. Men-talkin-kan mayat di atas kuburan tidaklah kuat sanadnya (alasannya) daripada perbuatan Nabi dan sahabatnya. Lebih baik pekerjaan itu dihentikan. Talkin (mengajari mayat) bukanlah setelah dia terkubur, hanyalah seketika dia akan mati diajarkan di telinganya kalimat suci "La ilaha illal Lah", lain tidak.

5. Diperbincangkan juga panjang lebar tentang erti Bid'ah menurut logat dan Bid'ah menurut syarak (Bid'ah Lughawiyah dan Bid'ah Syar'iyah).

6. Ketika itu di Padang amat ribut dalam kalangan kaum muda terpelajar tentang apa yang dinamai menyerupai orang kafir. Ketika itu sangat dipertahankan memakai samping, iaitu kain sarung di luar seluar panjang dilipatkan sebagai tanda orang Islam.

Sehingga naik kereta api, jika tidak memakai samping akan dikenakan bayaran sebagai orang Eropah dan Tionghoa.

Ketika orang menanyakan pendapat "Al-Munir" tentang "tasyabbuh" (menyerupai) itu, maka keluarlah fahaman beliau, bahawa yang dikatakan tasyabbuh ialah memakai tanda-tanda keagamaan, seumpama memakai tanda salib dan lain-lain.

Adapun soal Pakaian, Dasi, Cepiau dan lain-lain, bukanlah tasyabbuh. Di Turki sendiri negeri Islam, orang memakai Dasi dan Seluar panjang.

7. Menambah (menempel) Jumaat dengan Zuhur pada masjid yang dikatakan tidak cukup syarat, iaitu syarat-syarat yang diperbuat-buat oleh ulama madzhab, adalah perbuatan yang tidak timbul daripada timbangan otak sihat.

8. Selain daripada memulakan Puasa kerana melihat awal bulan (ru'yah), boleh juga dengan memakai ilmu Hisab. Bahkan dengan ilmu Hisab itu lebih dijamin kebenarannya, sebab ilmu itu bukan termasuk tenung-tenungan, tetapi termasuk ilmu Pasti dalam ilmu Alam (ilmu Falak).

9. Orang yang meninggalkan sembahyang lalu mati, tidaklah dapat diganti sembahyang dengan membayar fidyah oleh warisnya yang tinggal, sebagaimana yang banyak dilakukan orang.

10. Menziarahi dan membesar-besarkan kuburan orang yang telah mati, bernazar dan berkaul kepada tempat yang dipandang keramat itu, semuanya adalah merosakkan ajaran Tauhid.

Semuanya membawa kepada Syirik.

11. Memakai suatu Kaiftat atau peraturan yang tertentu di dalam mengingat Allah (zikir), kalau peraturan itu tidak berasal daripada Nabi saw. dengan sanad Hadits yang shahih, bid'ah hukumnya.

12. Merabithahkan guru, iaitu menggambarkan rupa guru dalam ingatan bahawasanya guru atau Syeikh-lah yang menjadi orang perantaraan membawa manusia menghadap Tuhan di dalam suatu zikir, sebagaimana diperbuat oleh penganut Tariqat Naqsyabandi, Khalawati, Syazili, Saman dan lain-lain, adalah melanggar akan ajaran sejati agama Islam.

13. Taklid buta adalah serendah-rendah derajat.

Agama yang sejati tidak dapat ditegakkan selama bertaklid.

14. Pintu ijtihad selama-lamanya tidak tertutup bagi semua orang yang berakal yang mempunyai kesanggupan.

15. Perbuatan "Cindur Buta", iaitu apabila seorang lelaki menceraikan isterinya telah sampai tiga kali, kemudian mereka hendak bergaul kembali, maka bolehlah dipanggil orang lain mengawini perempuan itu dan tidur sekali untuk satu malam. Esok paginya dia dipaksa menceraikan, atau diikat janji lebih dahulu bahawa dia mesti bercerai.

Maka banyaklah orang-orang tolol yang dipelihara Engku Kadi lama, atau Ulama-ulama dalam Suraunya. Gunanya ialah hendak menjadi "pemupus talak" itu.

Maka bersekongkollah Kadi dengan janda (si perempuan) itu dan si pemupus talak diberi upah.

Orangnya kerap kali dipilih yang bodoh-bodoh.

Kadang-kadang perempuan itu tidak mahu menyerahkan dirinya kerana bencinya kepada "suami" sewaan itu.

Maka di samping Surau Engku Kadi, ada sebuah kamar, disuruh sahaja keduanya masuk ke kamar itu sebentar.

Setelah keluar ditanyai:

"Sudah?"

Si Goblok (Bodoh) menjawab:

"Sudah!"

Perempuan ditanyai pula. Tentu sahaja kebanyakan mereka malu untuk memberikan jawapan. Maka sebelum dia menjawab sudah, sebelum diselesaikan perkaranya.

Kalau menjawab "sudah", barulah disahkan perceraiannya dengan Si Tolol, dan menunggu edahnya sampai, hendaklah dia bersabar, sampai dikahwinkan dengan suaminya yang dahulu itu.

Apakah asal perkataan Cindur Buta itu? Tidaklah terang.

Kerana ada pula orang membuat "dongeng" bahawa bukan Cindur Buta, melainkan "Cina Buta."

Seorang Cina buat masuk Islam, dan miskin. Tinggal di rumah Tuan Kadi. Wallahualam Adat Cindur Buta ini dibantah, dihentam dengan sekeras-kerasnya di dalam "Al-Munir."

16. Adat bermalam. Iaitu membaca zikir dan puji-pujian kepada Nabi dengan menabuh Rebana atau Talam, dengan suara yang merdu, tetapi seluruh bacaannya menjadi salah, lantaran lagunya.

Ini pun diberantas.

17. Dan ada lagi beberapa perkara lain. Sebahagian besar masalah ini dibangkitkan oleh Ayahku dan teman-temannya membela.

REAKSI

Perkara-perkara itu mulanya hanya dikupas menurut kadar penyelidikan, dengan tidak bermaksud menentang dan mencari lawan.

Tetapi rupanya, kerana belum biasa dan kerana tidak sanggup menyelidiki pula, hal-hal ini telah menimbulkan reaksi luar biasa dari kalangan ulama yang teguh pada pendirian yang lama.

Lebih-lebih kalau sekiranya mereka pergi kepada rakyat yang lebih bodoh daripada mereka sendiri, membuat berbagai-bagai fitnah yang bukan-bukan.

Kata-kata dalam agama yang sangat ditakuti pada ketika itu, tersembur dari mulut mereka terhadap pengarang-pengarang "Al-Munir."

Pengarang  "Al-Munir" telah keluar dari Madzhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah!

Mereka Mu'tazilah, Wahabi, Khawarij.

Mereka Zindik.

Mereka sesat lagi menyesatkan.

Mereka adalah pengikut Muhammad Abduh yang ketika mati terjulur lidahnya satu hasta, begitu menurut yang tersebut dalam karangan Syeikh Yusuf Nabhani.

Mereka telah memuji Pakaian orang kafir, sebab itu mereka kafir!

(Buya HAMKA, Ayahku, 149, PTS Publishing House Malaysia, 2015).

PENGGALIAN DAN PEMINDAHAN JENAZAH

Sebab itu sangatlah keras persangkaan saya tidak ada keputusan ulama-ulama pada zaman perjuangan, 1945/1949 itu semata-mata menjatuhkan haram hukum memindahkan mayat atau tulang-tulang mayat dari satu tempat ke tempat lain dengan tidak mengingat pengecualian-pengecualian. Padahal ilmu Ushul Fiqih sangat menekankan segala pengecualian itu.

Sekurang-kurangnya saya tidak percaya bahwa Perkumpulan Muhammadiyah, yang saya salah seorang anggotanya turut mengambil suatu keputusan yang tidak dengan dasar ilmu.

Seumpama saya sendiri; haramkah saya memindahkan makam Ayah saya ke tempat lain, padahal saya sudah mendapat keterangan yang jelas berhadapan muka dan Wakil Gubernur Jakarta Raya sendiri bahwa Jalan K.H. M. Mansur memang akan diperlebar dan makam Ayah saya akan kena?

Oleh sebab lawan dari haram adalah wajib; wajibkah saya membiarkan saja jalan itu diperlebar, dan artinya wajib pula saya biarkan tulang-tulang Ayah saya dibolduzer?

Keputusan ulama pewaris Nabi yang manakah yang mengharamkan memindahkan mayat atau tulangnya, dari satu kubur ke makam lain, padahal makam tulang-tulang Ayah saya dari Jakarta ke kampung halaman beliau.

Saya menyetujui apa yang dikatakan oleh Imam Hambali yang telah saya salinkan di atas tadi, bahwa beliau tidak bertemu suatu alasan yang melarang memindahkan kubur seseorang dari negerinya ke negeri lain.

Yang saya lakukan adalah memindahkan tulang-tulang Ayah saya dari Jakarta tempat ia dibuang Belanda, ke kampung halaman tempat beliau dilahirkan.

Sejak beliau dibuang (Agustus 1941), sepilah kampung halaman kami, negeri seakan-akan kehilangan tuah.

Teringatlah saya pendapat Imam Malik yang saya salinkan di atas tadi juga bahwa memindahkan jenazah atau tulang-tulang dengan maksud membawa berkat di tempat ia dipindahkan pun, dapat juga menjadi salah satu alasan.

Ini pun pernah dilakukan orang di Mesir ketika membawa kembali ke Mesir tulang-tulang Muhammad Farid (1920) yang mati dalam pembuangan di Eropa.

Kerajaan Afganistan membawa pulang kembali ke Afghanistan tulang-tulang Sayyid Jamaluddin al-Afghani yang meninggal di Istanbul pada 9 Maret 1856, (5 Syawwal 1314). Pemindahan itu terjadi Tahun 1944.

Begitu juga usaha Pemerintah Aljazair setelah mencapai kemerdekaanya pada Tahun 1962, tidak berapa lama kemudian telah mereka pindahkan pula tulang-tulang Amir Abdul Qadir Aljazair dari Damaskus ke Aljazair. Amir Abdul Qadir, pahlawan Aljazair yang terkenal melawan Prancis, meninggal di pembuangan pada Tahun 1888.

Terjadinya hal-hal seperti ini bukanlah suatu pelanggaran aturan agama, bukan membuat pekerjaan yang haram sampai kiamat sebagaimana yang dikatakan al-Ustadz Haji Hassan Abdillah Idrus, melainkan ada dasar-dasar yang dapat dipegang.

Agama Islam itu bukanlah sempit, hanya pikiran-pikiran kita sendirilah yang kerap kali sempit karena sempitnya ilmu pengetahuan kita tentang hukum-hukumnya yang sejati.

Sebagai penutup, saya jelaskan sekali lagi, bahwa penggalihan dan pemindahan kubur-kubur di Jakarta itu, tidaklah akan terjadi kalau tidak ada keputusan yang telah pasti dari Pemerintah DKI Jakarta Raya sebagaimana yang telah kita uraikan tadi.

Penulis ini tidaklah akan memelopori menggali dan memindahkan kubur Sultan Alam Bagagar Syah yang telah 126 Tahun bersemayam di Mangga Dua dan kubur Ayah penulis sendiri yang telah 30 Tahun di tanah wakaf Ara di Karet, kalau bukan karena maksud yang telah tetap dari pemerintah hendak menggusurnya.

Saya bersedia kembali kepada yang lebih benar, kalau ada keterangan ilmiah yang membantah dan apa yang saya terangkan ini.

Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA).

(Buya HAMKA, 1001 Soal Kehidupan, Hal. 324-326, Penerbit Gema Insani, Cet.1, 2016).